Friday, 15 April 2016

Dr. Zakir Naik

Baru-baru ini, isu Dr. Zakir Naik seringkali meniti di bibir rakyat Malaysia. Hal ini adalah berkait dengan pembatalan ceramah Dr. Zakir Naik yang sepatutnya diadakan di UTEM pada 17 April 2016 seperti yang tertera di dalam poster di bawah.


Pembatalan ceramah ini adalah untuk mengelakkan sensitiviti keagamaan di Malaysia. Sesetengah masyarakat berpendapat bahawa ceramah ini tidak harus dibatalkan kerana Dr. Zakir Naik adalah seorang penceramah yang dikatakan hebat kerana hafalan beliau terhadap Kitab Bible dan semestinya Al-Quran. Seandainya anda pernah mendengar ceramah beliau, beliau dengan lantangnya menjawab persoalan-persoalan daripada tetamu yang hadir dengan ayat-ayat Al-Quran serta Kitab Bible untuk menyokong pernyataan beliau. Sahabat beliau iaitu Yusof Estes, seorang penceramah keagamaan juga menyatakan bahawa Dr. Zakir Naik mempunyai otak berkapasiti gergasi kerana mampu menghafal dan mengingati setiap bait kitab-kitab keagamaan ini. Jika dilihat dalam video-video beliau yang boleh didapati di Youtube, kita juga boleh melihat Dr. Zakir Naik mengislamkan tetamu ceramahnya selepas persoalan yang bermain di dalam fikiran mereka terjawab dengan baik oleh beliau. Oleh sebab itu, Dr. Zakir Naik lebih mengalu-alukan golongan bukan Islam untuk hadir ke ceramah-ceramah atau forum yang diadakan supaya mereka dapat bertanya dan merungkai persoalan yang ada dalam fikiran mereka.

Walaupun begitu, tidak kurang juga bagi masyarakat yang menyokong pembatalan ceramah ini. Menurut laporan yang diperoleh melalui blog-blog isu terkini, ceramah ini dibatalkan kerana laporan polis yang dibuat oleh masyarakat yang beragama Hindu di Malaysia. Bagi mereka, ceramah ini menggugat sensitiviti agama mereka. Malaysia dikatakan sudah tidak boleh menerima konflik lagi kerana sudah terlalu banyak konflik yang timbul sejak akhir-akhir ini.

Pada pendapat saya, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Kehadiran masyarakat sebagai tetamu ceramah ini tidak dipaksa oleh sesiapa. Malahan, sesiapa yang hadir ke ceramah ini adalah atas kerelaan diri sendiri. Disebabkan oleh sensitiviti keagamaan, ceramah ini terpaksa dibatalkan walaupun kita boleh memperoleh ilmu yang banyak jika ceramah ini diadakan. Sudah pun begitu, ceramah yang dibatalkan atas sebab sensitiviti agama ini juga menimbulkan kemarahan dalam segelintir masyarakat apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof. P. Ramasamy yang melabelkan beliau sebagai syaitan. Sebagai seorang yang berjawatan tinggi, Prof. P. Ramasamy tidak seharusnya berkata demikian. Ianya seperti Prof. P. Ramasamy sendiri yang menggugat sensitiviti keagamaan di Malaysia dengan berkata demikian. Jika ceramah ini harus dibatalkan kerana sensitiviti, jadi di manakah adabnya anda apabila mengeluarkan kenyataan seperti berikut? Bahasa melambangkan peribadi seseorang. Apakah salahnya jika pembatalan ceramah ini dilakukan dengan baik dan bukan dengan mengeluarkan kenyataan seperti berikut.

Malaysia sudah sarat dengan konflik yang banyak pada masa ini. Kita seharusnya berusaha untuk mengembalikan Malaysia ke era kegemilangannya dan bukannya menimbulkan konflik dari masa ke semasa. Oleh itu, kita haruslah bermuhasabah diri di samping berfikir bagaimana untuk memajukan Malaysia dan bukannya merosakkan lagi Malaysia yang tercinta.

Tuesday, 29 March 2016

Remaja bermasalah

Isu remaja bermasalah bukanlah isu yang baru lagi. Malahan isu ini sudah bangkit dan menjadi perhatian sekian lama, namun isu ini sepertinya tidak ada penghujung.

Remaja kebiasaannya akan mula terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang akhirnya menyebabkan mereka digelar sebagai remaja bermasalah seawal usia 13 tahun iaitu apabila mereka mula menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Pada masa ini, mereka yang asalnya daripada sekolah rendah mula "melihat dunia" dan mendapat pengaruh daripada rakan-rakan yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Pada usia ini, remaja biasanya akan diperlihatkan dengan perkara-perkara baru yang menyebabkan mereka mempunyai keinginan untuk mencuba. Keinginan untuk mencuba ini juga disokong dengan kepuasan yang bakal mereka peroleh dan respect daripada rakan-rakan mereka yang tidak berani mencuba.

Yang hairannya, pelbagai usaha telah diambil untuk mengelakkan remaja-remaja yang fresh daripada sekolah rendah ini daripada terjebak dengan isu-isu yang berkaitan dengan remaja bermasalah ini. Jika dilihat dari segi usaha pihak sekolah, pelbagai jenis usaha seperti ceramah, kaunseling dan pendedahan awal dibuat untuk menyedarkan remaja-remaja ini tentang bahaya dan kesan yang akan diperoleh apabila mereka terjebak dengan remaja bermasalah. Remaja yang kebanyakannya tergolong dalam kalangan pelajar juga sering diminta untuk menulis karangan mengenai faktor remaja bermasalah dan cara mengatasinya supaya mereka dapat berfikir sejenak. Kempen daripada pihak kerajaan juga diadakan bagaikan kulat tumbuh selepas hujan. Namun, usaha-usaha yang diambil untuk mengurangkan peratusan remaja bermasalah ini tidak mendatangkan hasil. Malah peratusan remaja bermasalah semakin meningkat berikutan berita yang kita dapati hari demi hari daripada akhbar, media sosial dan juga laman sesawang. Berikutan adalah contoh keratan akhbar yang berkait dengan isu remaja bermasalah.




Setelah pelbagai usaha dilakukan, hasilnya boleh dikatakan agak mengecewakan. Kini timbul persoalan mengenai punca remaja itu bermasalah. Adakah remaja itu sendiri yang "mencari penyakit" dengan melibatkan diri dalam isu remaja atau adakah masalah ini sebenarnya berpunca daripada ibu bapa?

Remaja itu sendiri vs ibu bapa?


Remaja yang bermasalah ini dikatakan berpunca daripada beberapa faktor. Contoh yang biasa diketengahkan apabila berbicara mengenai remaja bermasalah adalah kurang didikan agama, pengaruh rakan sebaya dan keinginan untuk mencuba yang sangat tinggi. Namun begitu, tahukah anda bahawa remaja yang bermasalah ini sebenarnya mempunyai hubung kait dengan kisah silam mereka pada zaman kanak-kanak dahulu?

Dalam pengajian psikologi, terdapat satu bahagian dimana kajian mengenai perkembangan manusia dilakukan. Menurut kajian yang dilakukan, remaja yang bermasalah ini mempunyai kaitan dengan masa kecil mereka. Contohnya;

  • Kanak-kanak yang tidak cukup menyusu ibu akan mengalami masalah yang berkaitan dengan mulut seperti merokok apabila menjelang remaja kelak.
  • Kanak-kanak yang dikongkong pada masa kecil akan memberontak untuk mencari kebebasan dan keinginan mereka untuk mencuba adalah sangat tinggi akibat dikongkong pada masa kecil.
Walaupun pengaruh rakan sebaya dan faktor-faktor lain turut menjadi punca remaja bermasalah, namun begitu ibu bapalah sebenarnya yang memainkan peranan penting dalam proses membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah membesarkan anak-anak dengan cara yang betul untuk mengelakkan anak-anak mereka membesar menjadi remaja yang bermasalah pada masa akan datang. Didikan harus diberikan sebaik mungkin termasuklah didikan agama supaya anak-anak dapat membesar dengan baik. Membesar dengan baik disini bermaksud mereka dapat membezakan baik buruk sesuatu perkara itu pada masa akan datang dan juga mendapat kasih sayang, perhatian dan pengajaran yang sebaiknya supaya masa kecil mereka lengkap. Jika masa kecil mereka mempunyai kekurangan, hal inilah yang akan merangsang mereka untuk mencari jawapan sendiri menjelang dewasa kelak dan potensi untuk mereka terlibat dengan remaja lain yang bermasalah adalah tinggi.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, mendidik anak juga haruslah daripada kecil dan bukannya apabila mereka sudah meningkat remaja dan mula membuat silap barulah ibu bapa sibuk mencari jalan penyelesaian.

Monday, 28 March 2016

Hantaran

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai yang mula mengambil inisiatif untuk membina masjid bersama insan yang tersayang. Hampir setiap minggu pasti ada jemputan daripada kenalan-kenalan lama. Hampir setiap minggu juga, paparan di "newsfeed" Facebook juga penuh dengan majlis-majlis perkahwinan kenalan-kenalan di laman sosial tersebut. Bagi saya yang sudah berkahwin, walaupun tidak berapa mengenali pasangan yang berkahwin tersebut kerana hanya bergelar "friends" di laman sosial tersebut, saya turut berasa gembira bagi mereka kerana saya tahu bukanlah mudah untuk mendirikan masjid. Pelbagai rintangan dan halangan yang perlu ditempuh sebelum akad nikah dilafazkan. Bagi mereka yang belum berkahwin pula, pasti timbul rasa cemburu kerana perasaan ingin membina masjid pasti ada di dalam diri mereka. Namun begitu, bukan isu ini yang mahu saya kongsikan pada hari ini. Tetapi isu yang boleh dikatakan hangat apabila dikaitkan dengan perkahwinan.

Isu ini sememangnya sudah lali dalam kalangan masyarakat, iaitu isu hantaran. Hantaran merupakan hadiah yang ditetapkan oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki dan kebiasaanya hantaran ini akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus perkahwinan. Hantaran menurut agama Islam adalah tidak wajib, yang wajibnya adalah mahar iaitu pemberian wajib kepada isteri oleh suami. Walaupun begitu, adat resam masyarakat Melayu meletakkan hantaran ini sebagai perkara yang penting. Disebabkan oleh adat resam yang dipandang berat oleh masyarakat Melayu, perkahwinan yang mudah menjadi lebih rumit akibat beban untuk mengumpul duit yang banyak untuk memenuhi permintaan pihak perempuan. Hantaran yang tinggi ibarat memberikan maksud bahawa anak perempuan sesebuah keluarga itu bernilai tinggi dan pada masa ini, meletakkan hantaran yang tinggi menjadi trend semasa.

Sumber: Berita Semasa

Pada masa ini, walaupun tidak kesemua keluarga mengikut adat resam dengan menetapkan hantaran yang tinggi tetapi inilah realitinya. Nilai wang hantaran di Malaysia diletakkan mengikut taraf pendidikan. Semakin tinggi pendidikan anak perempuan yang dikahwinkan tersebut, maka semakin tinggilah nilai wang hantaran yang perlu disediakan oleh pihak lelaki. Timbul persoalan disini, adakah perlu wang hantaran setinggi ini?

Sumber: Blog

Sumber: Youtube

Isu hantaran ini akhirnya menyebabkan pasangan ini tidak dapat berkahwin lantaran hantarannya yang tinggi dan tidak sepadan dengan pekerjaan pengantin lelaki yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Apabila terjadi perkara seperti ini, perkahwinan yang mahu didirikan bukan sahaja dibatalkan malah maruah bagi kedua-dua belah keluarga juga tercalar. Video yang sudah viral di laman sosial ini memaparkan kekecohan dan bagaimana kelakuan mereka yang memalukan. Pastinya kehidupan mereka selepas ini berubah sedikit sebanyak akibat penyebaran video tersebut. Timbul juga persoalan adakah perkahwinan yang mahu didirikan ini adalah berdasarkan wang semara-mata?

Pada pandangan saya sendiri, hantaran itu boleh ditetapkan oleh keluarga pihak perempuan walaupun hakikatnya menurut agama Islam hantaran adalah tidak wajib. Walaupun begitu, keluarga pihak perempuan haruslah mempunyai sifat bertimbang rasa dengan meletakkan nilai yang berpatutan dan sepadan dengan pekerjaan bakal menantu mereka. Hal ini kerana, selain daripada wang hantaran tersebut, bakal menantu lelaki perlu juga mengumpul wang untuk menampung kos sepanjang proses untuk mengikat tali perkahwinan tersebut dan dia juga harus memikirkan hidupnya bersama isteri selepas berkahwin. Perkahwinan bukanlah sekadar memandang hantaran yang tinggi, malahan hantaran yang tinggi tidak akan menjamin kebahagiaan. Tetapi, kehidupan selepas berkahwin itulah sebenarnya yang menentukan kebahagiaan sesebuah perkahwinan.

Janganlah kerana mahukan nama dan mengikut trend sehingga menyusahkan pasangan yang ingin membina masjid ini. Sebaiknya, jalan mereka ini dipermudahkan kerana perkahwinan itu adalah sesuatu perkara yang baik.

Sunday, 13 March 2016

Harga petrol

Sejak tahun 2014, subsidi bagi petrol telah dihentikan dan harga petrol mengalami turun dan naiknya mengikut kaedah pengapungan terkawal. Penetapan harga petrol akan berubah setiap bulan dan penetapan harga petrol yang baru bagi setiap bulan akan ditetapkan berdasarkan Purata Harga Pasaran Bulan yang sebelumnya. Berikutan hal ini, masyarakat Malaysia akan menanti pada setiap hujung bulan untuk mengetahui harga runcit baru bagi petrol. Peningkatan harga petrol yang diumumkan akan menggesa majoriti masyarakat untuk mengisi petrol pada malam terakhir bulan tersebut sebelum harga petrol naik pada keesokan harinya.

Menurut rajah di bawah, harga petrol adalah paling rendah pada bulan Mac 2016 semenjak kaedah pengapungan terkawal ini dijalankan. Hal ini dikatakan berkait dengan harga petrol yang jatuh dalam pasaran dunia.

Sumber rajah: Malaysia Tercinta


Harga runcit petrol bergantung sepenuhnya terhadap kaedah pengapungan terkawal. Oleh itu, harga jualan petrol di pasaran Malaysia akan menurun seiring dengan harga pasaran petrol dunia dan juga sebaliknya. Hal ini menjelaskan penurunan harga jualan petrol di Malaysia pada Mac 2016.

Di sebalik turun dan naik harga petrol ini, timbul tanda tanya apabila harga barangan masih meningkat walaupun harga petrol menurun. Hal ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat kerana kenaikan harga barangan dahulu pernah dikaitkan dengan kenaikan harga petrol. Harga barangan dikatakan mempunyai hubungan positif dengan harga petrol iaitu apabila harga petrol meningkat maka harga barangan akan turut meningkat. Walaupun begitu, peningkatan harga barangan masih berterusan walaupun terdapat beberapa bulan yang boleh dirujuk dalam rajah diatas yang menunjukkan penurunan harga petrol.

Peniaga yang menaikkan harga pada suatu ketika dahulu dengan alasan harga minyak naik boleh dikatakan sebagai relevan kerana melibatkan kos pengangkutan semasa menghantar stok-stok barangan yang dijual oleh mereka. Namun begitu, apabila harga petrol yang kini tidak stabil kerana terdapatnya turun dan naik maka tidak relevan lagi alasan yang digunakan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sesukat hati dengan menggunakan alasan harga petrol naik. Walhal, harga petrol kini sudah tidak sama seperti dahulu yang stabil pada harga yang agak tinggi.

Pada pendapat saya, peniaga haruslah lebih prihatin dan lebih bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan. Mereka haruslah prihatin dengan harga petrol pada masa kini dan tidak terus menaikkan harga barangan sesuka hati. Hal ini kerana bukanlah semua orang mampu untuk membeli barangan keperluan dengan harga yang ditetapkan oleh peniaga pada masa ini. Terdapat segelintir masyarakat yang rasa terbeban dengan kenaikan harga yang melampau pada masa ini, ditambah pula dengan kos-kos lain terutamanya kos sara diri yang melambung tinggi dan menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyara diri sendiri dan keluarga bagi yang sudah berkeluarga. Beban ini bukan saja dirasai oleh mereka yang sudah bekerja malah pelajar juga turut merasainya. Oleh itu, peniaga haruslah mempertimbangkan perkara ini dan menjalankan perniagaan dengan lebih beretika.