Sunday, 13 March 2016

Harga petrol

Sejak tahun 2014, subsidi bagi petrol telah dihentikan dan harga petrol mengalami turun dan naiknya mengikut kaedah pengapungan terkawal. Penetapan harga petrol akan berubah setiap bulan dan penetapan harga petrol yang baru bagi setiap bulan akan ditetapkan berdasarkan Purata Harga Pasaran Bulan yang sebelumnya. Berikutan hal ini, masyarakat Malaysia akan menanti pada setiap hujung bulan untuk mengetahui harga runcit baru bagi petrol. Peningkatan harga petrol yang diumumkan akan menggesa majoriti masyarakat untuk mengisi petrol pada malam terakhir bulan tersebut sebelum harga petrol naik pada keesokan harinya.

Menurut rajah di bawah, harga petrol adalah paling rendah pada bulan Mac 2016 semenjak kaedah pengapungan terkawal ini dijalankan. Hal ini dikatakan berkait dengan harga petrol yang jatuh dalam pasaran dunia.

Sumber rajah: Malaysia Tercinta


Harga runcit petrol bergantung sepenuhnya terhadap kaedah pengapungan terkawal. Oleh itu, harga jualan petrol di pasaran Malaysia akan menurun seiring dengan harga pasaran petrol dunia dan juga sebaliknya. Hal ini menjelaskan penurunan harga jualan petrol di Malaysia pada Mac 2016.

Di sebalik turun dan naik harga petrol ini, timbul tanda tanya apabila harga barangan masih meningkat walaupun harga petrol menurun. Hal ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat kerana kenaikan harga barangan dahulu pernah dikaitkan dengan kenaikan harga petrol. Harga barangan dikatakan mempunyai hubungan positif dengan harga petrol iaitu apabila harga petrol meningkat maka harga barangan akan turut meningkat. Walaupun begitu, peningkatan harga barangan masih berterusan walaupun terdapat beberapa bulan yang boleh dirujuk dalam rajah diatas yang menunjukkan penurunan harga petrol.

Peniaga yang menaikkan harga pada suatu ketika dahulu dengan alasan harga minyak naik boleh dikatakan sebagai relevan kerana melibatkan kos pengangkutan semasa menghantar stok-stok barangan yang dijual oleh mereka. Namun begitu, apabila harga petrol yang kini tidak stabil kerana terdapatnya turun dan naik maka tidak relevan lagi alasan yang digunakan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sesukat hati dengan menggunakan alasan harga petrol naik. Walhal, harga petrol kini sudah tidak sama seperti dahulu yang stabil pada harga yang agak tinggi.

Pada pendapat saya, peniaga haruslah lebih prihatin dan lebih bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan. Mereka haruslah prihatin dengan harga petrol pada masa kini dan tidak terus menaikkan harga barangan sesuka hati. Hal ini kerana bukanlah semua orang mampu untuk membeli barangan keperluan dengan harga yang ditetapkan oleh peniaga pada masa ini. Terdapat segelintir masyarakat yang rasa terbeban dengan kenaikan harga yang melampau pada masa ini, ditambah pula dengan kos-kos lain terutamanya kos sara diri yang melambung tinggi dan menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyara diri sendiri dan keluarga bagi yang sudah berkeluarga. Beban ini bukan saja dirasai oleh mereka yang sudah bekerja malah pelajar juga turut merasainya. Oleh itu, peniaga haruslah mempertimbangkan perkara ini dan menjalankan perniagaan dengan lebih beretika.

No comments:

Post a Comment